Friday, March 29, 2013

Kasih Sayang/Kekeluargaan


     Khairul mempunyai seorang kakak. Namanya ialah Anis. Usianya lima tahun lebih tua daripada Khairul. Suatu hari,untuk mendapatkan seutas jam tangan yang menjadi rebutan orang ramai pada ketika itu,Khairul telah mengambil RM10 dari poket seluar ayahnya secara sembunyi. Petang itu,setelah keduanya pulang dari sekolah,ayahnya iaitu Pak Karim,telah memanggil mereka berdua di halaman ruang tamu di rumah mereka. Dia mengarahkan Khairul dan kakaknya,Anis, berdiri di tepi dinding. Khairul menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayahnya. “Siapa ambil duit ayah?”tanya ayahnya bagai singa lapar. Malangnya,Khairul langsung tidak berdaya untuk menentang renungan tajam mata ayahnya. Kedua-dua mereka hanya membisu dan tunduk memandang lantai.

       “Baiklah,kalau tidak mengaku,dua-dua ayah rotan!”sambung ayahnya lalu mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang Khairul. Tiba-tiba Anis menangkas tangan ayahnya dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Kakak yang ambil!”belum sempat Anis menarik nafas selepas mengucap kata-kata itu, ‘zappp…!’hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh Anis yang kecil itu. Khairul tergamam melihat kakaknya dirotan ayah. Manakala lidahnya pula kelu untuk bersuara. Walaupun perit menahan sakit,setitis pun airmata kakaknya tidak tumpah. Setelah puas melihat Anis terjelepok di lantai,ayahnya merungut “Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri.Apa lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar nanti?!”

    Malam itu,ibunya iaitu Mak Timah,dan Khairul tak lepas-lepas memeluk Anis. Belakangnya yang berbirat akibat di rotan ayah cuba mereka ubati. Namun,Anis cukup tabah. Setitis pun airmatanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk itu. Melihat keadaan itu,Khairul meraung sekuat hati,kesal dengan sikapnya yang takut berkata benar. Anis segera menutup mulutnya dengan kedua-dua tangannya lalu berkata, “Jangan menangis dik,semuanya sudah berlalu!”Khairul mengutuk dirinya kerana tidak mampu menanggung kesalahannyan sendiri.

     Tahun silih berganti,peristiwa kakaknya dirotan oleh ayah kerana mempertahankan dia bagaikan baru semalam berlalu. Ianya masih segar di ingatan Khairul walaupun usianya sudah menginjak belasan tahun. Anis telah  mendapat tawaran ke kolej manakala Khairul telah mendapat tawaran untuk ke pra-universiti.

Malam itu,Pak Karim duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama Mak Timah di ruang tamu. Khairul terdengar ayahnya berkata kepada ibunya, “Mah,kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran.Abang bangga sekali!”. “Tapi apalah maknanya..!” tiba-tiba Khairul terdengar ibunya teresak-esak. “Dimana kita nak cari duit untuk membiayai pelajaran mereka?” Ketika itulah,Anis keluar dari biliknya. Dia beranikan diri untuk berdiri di depan ayah dan ibunya lalu berkata  “Ayah,kakak tak mahu ke sekolah lagi!”Perlahan-lahan ayahnya bangun lalu membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah isterinya,kemudian wajah Anis dalam-dalam.  ‘Panggg..!’satu tamparan free singgah di pipi Anis. Seperti biasa yang mampu Khairul lakukan ialah menutup mukanya dan menangis.

  “Kenapa kamu ni?!Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu pun,ayah sanggup!”.  “Kakak kena bersekolah.Kalau tidak,kakak takkan dapat membawa keluarga kita ini keluar daripada kemiskinan.Macam ayah kamu ni! Tak dapat membawa keluarga ayah untuk keluar daripada kemiskinan!” “Kamu mahu ke jadi seperti ayah?” Khairul segera menuju ke arah kakaknya dan memujuk kakaknya tatkala menyapu minyak pada pipi kakaknya yang bengkak itu. “Kakak,nak dapat peluang untuk ke kolej bukannya senang. Biarlah adik sahaja yang berhenti sekolah.”

  Tiada siapa yang menyangka,pada malam itu Anis tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas katil tempat dia lelapkan mata,terdapat sehelai kertas yang tercatat…

  “Adik,peluang untuk ke universiti itu lebih susah berbanding peluang yang kakak dapat ini.Kakak akan cari kerja dan kirimkan wang buat adik,ya?Adik jangan lupa jaga ibu dan ayah..”

  Apa lagi yang Khairul tahu selain meraung. Ayah hanya mampu termenung. Wajahnya yang sugul sudah cukup jelas menggambarkan bahawa dia sangat kecewa dengan tindakan kakak yang terburu-buru. Begitu juga ibunya yang menggunakan airmatanya untuk memujuk ayah.

  Suatu petang ketika berehat  di universiti,teman sebilik Khairul menerpa ke arahnya lalu berkata “Ada gadis kampung tunggu kau kat luar!”. “Gadis kampung? Siapa ya? Setahu aku,kekasih hati pun aku tiada. Gadis dari mana pula ya?”bisik Khairul. Dengan tergesa-gesa Khairul keluar dari bilik. Dari jauh Khairul nampak kakaknya berdiri dengan pakaiannya yang comot dipenuhi lumpur dan simen. Hati Khairul berasa sangat girang.

   “Kenapa sebut orang kampung,sebutlah kakak yang datang!” Sambil tersenyum dia menjawab,”Adik lihatlah pakaian kakak ni. Apa yang akan kawan-kawan adik kata kalau mereka tahu kakak ini adalah kakak adik?” Jantung Khairul terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapan kakaknya itu. Khairul cukup tersentuh. Tanpa sedar,airmatanya mengalir di pipi. Khairul kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian kakaknya. Dalam nada suara yang sederhana kuat,Khairul bersuara, “Adik tak peduli apa orang lain kata”.Anis tersenyum senang dengan kata-kata adiknya. Dari kocek seluarnya, Anis mengeluarkan jam tangan yang baru dibelinya sambil berkata, “Adik,pakailah jam tangan daripada kakak ini walaupun harganya murah,tapi bentuknya cantik!.Kakak tengok ramai pemuda yang sebaya dengan adik pakai jam G-SHOCK ni.Jadi kakak beli satu untuk adik.Adik pakai ya..” Khairul kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Khairul memeluk erat kakaknya. Baju lusuh yang dipakai oleh Anis habis dibasahi dengan airmata Khairul yang tidak dapat ditahan lagi.

  Tamat semester,Khairul pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Khairul lihat tingkap dan dinding rumahnya bersih,tidak seperti selalu. “Ibu,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik”.

Ibunya menjawab, “Kakak kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka”.

  Khairul yang terkejut mendengar khabar itu terus berlari  menerpa ke bilik Anis. Anis yang sedang melipat pakaiannya untuk disusun di dalam almari tersenyum melihat adiknya yang termengah-mengah di hadapan pintu biliknya. Mereka bersalaman dan berdakapan untuk seketika. “Sakit ke?”.Khairul bertanya kepada kakaknya sambil memeriksa luka pada tangan kakaknya itu. “Tak..Adik tahu,semasa kakak bekerja sebagai buruh kontrak,kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh kakak sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha kakak untuk bekerja keras.” Apalagi…Khairul menangis seperti selalu.

  Khairul berkahwin pada usianya 25 tahun. Isteri Khairul seorang usahawati yang sangat sukses di kota. Walaupun begitu,isterinya tidak pernah riak dan bongkak akan kelebihan yang diperolehinya itu. Malah,dia juga seorang yang sangat mementingkan kesederhanaan dan rendah diri. Isterinya juga telah menawarkan jawatan pengurus kepada Anis. “Kalau kakak terima jawatan tu,apa kata orang lain?”kata Anis. “Kakak tidak berpelajaran tinggi. Biarlah kakak bekerja dengan kelulusan yang kakak ada sekarang.”

  “Kakak tak ke sekolah pun kerana adik”.Kata Khairul.  “Kenapa sebut kisah lama,dik?”kata Anis dengan ringkas,cuba menyembunyikan kesedihannya.

   Anis terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai seorang petani setelah ayahnya meninggal dunia. Malah,Anis jugalah yang menjaga ibu mereka yang semakin tua dan uzur. Pada majlis perkahwinannya dengan  jejaka sekampung,juruacara majlis bertanya,  “Siapakah orang yang paling kamu sayangi?”spontan Anis menjawab, “Selain ibu dan ayah,adik saya…”.katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati….

  “Semasa sama-sama bersekolah rendah,setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari,saya menyatakan hasrat saya yang teringin untuk makan buah durian kepada adik. Hidup di sebuah kampung yang di kelilingi dengan sawah padi,mana hendak kami cari buah durian tersebut melainkan terpaksa masuk ke dalam hutan ataupun beli sahaja buah tersebut di Bandar yang berdekatan. Oleh disebabkan kami hidup dalam serba kekurangan,sudah tentu kami tidak mampu untuk membelinya walaupun sebiji. Kata arwah ayah, 

‘duit ini sangat penting untuk kita sekeluarga.Oleh itu, kita harus berjimat cermat dengan duit yang kita ada sekarang’

Melihat saya yang kekecewaan,adik meluru masuk ke hutan demi memenuhi keinginan hati saya.Malangnya pada petang itu,adik membawa sebiji buah durian dengan penuh keperitan di badannya.Apabila ditanya mengapa,dia menceritakan peristiwanya yang disengat oleh tebuan apabila sasarannya tersasar ke arah sarang tebuan.Akibatnya,dia telah disengat oleh tebuan-tebuan tersebut.”cerita Anis kepada juruacara tersebut. 

“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan adik saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila. Jika dia mampu untuk buat saya gembira pada hari itu,sehingga akhirnya diri dia yang tersakiti,kenapa tidak saya melakukan perkara yang sama untuknya? Cuma saya tidak akan pernah rasa sakit sekiranya saya terpaksa menjaga insan yang saya sayangi ini walaupun hingga ke hujung nyawa saya.”sambung Anis dengan segaris senyuman yang terukir di bibirnya.

Sebaik sahaja Anis tamat bercerita,Khairul meluru ke pelamin lalu terus mendakap kakaknya erat bagaikan tidak mahu dilepasnya lagi.